Bismillahirrahmanirrahim, penulis memulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Memberikan selawat serta salam kepada junjungan Baginda Nabi Muhammad sholla Allahu 'alaihi wasallam, keluarga dan para sahabat Baginda.
Benarlah, setiap hamba itu tidak dikira beriman selagi mana belum diuji dengan ujian-ujian. Ujian yang datang pada setiap individu itu menyingkap pelbagai bentuk tabir kesusahan dan keperitan. Tidak dinafikan berbentuk kesenangan dan kemewahan, kepandaian dan kemahiran dan sebagainya. Beruntunglah mereka yang sedar akan setiap ketentuan yang berlaku pada hidupnya itu, sama ada dia bersyukur di atas segala nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala atau sebaliknya. Andai kata dia sabar, redha dan tawakal di atas ujian keperitan dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Begitulah, sebagai manusia biasa amat difahami akan keadaan dirinya. Lemah tidak bermaya melainkan la haula wala quata illa billahi al alii al 'aziim. Jika mahu disebut pada lisan, merupakan perkara yang mudah andai usaha menghadapi ujiannya itu. Tetapi dalam menghadapinya dirasakan amat pedih, dunia terasakan sempit, jiwa ketandusan ketenangan dan melanda dalam diri kegelisahan serta kesengsaraan. Tetapi, ingatlah pada janji Allah Subhanahu Wata'ala, barangsiapa yang bersabar di atas ujian yang diberikan kepadanya, akan mendapat ganjarannya di akhirat kelak. Oleh yang demikian, sebutlah pada diri, " Aku kena sabar, aku kena redha, dan tawakal pada Allah Ta'ala ".
Penulis kerap kali mendapat bahan bimbingan pendidik jiwa, dan pengubat hati daripada jalan-jalan yang ditunjukkan Allah Subhanahu Wata'ala tatkala diri memerlukan suntikan semangat. Mengingati akan sebuah kata-kata yang juga firman Allah Subhanahu Wata'ala, setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan, setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan. Kerana janji Allah itu benar, dan kata siapakah lagi yang lebih benar melainkan hanya kalimah-kalimah Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha menciptakan langit dan bumi. Begitulah, kadang-kadang diri kita ini merasai sesuatu perkara itu yang dirasakan ujian yang menggiris jiwa sebagai hirisan yang mematikan nyawa hayatnya. Tetapi ingatilah kita semua bahawa apa yang kita sukai tidak semestinya baik untuk kita, begitulah jua yang kita benci tidak semestinya buruk untuk kita.
Begitulah dasarnya buah-buah semangat yang juga diri penulis sendiri melontarkan pada pegangan jiwa tatkala ujian yang datang hadir mentarbiyyah kesabaran. Penulis hanya mampu mengucapkan kata syukur, alhamdulillah. Kerana jika dengan ujian ini akan membuat diri lebih dekat pada-Nya, lebih mengingatinya, bersyukurlah. Tidak kita ketahui selepas ini, sama ada jika tanpa ujian tersebut masih berpegangkah kita pada tali Allah, masih khusyu'kah kita, masih tawadu'kah kita dan masih ta'atkah kita?
Penulis mengingatkan diri sendiri juga saudara yang membaca petikan ini, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak menzholimi akan hamba-hamba-Nya, dan setiap ujian itu tidak diberikan melainkan sesuai dengan kesanggupan hamba-hambaNya. Cuma bagaimana keadaan kita dalam menghadapi ujian tersebut.
Bersabarlah wahai diri, bersabarlah wahai jiwa,
Perbanyaklah berdo'a kepada al Rabb, Allah Subhanahu Wata'ala,
Sesungguhnya ujian itu dari-Nya, daripada-Nyalah juga jalan keluar daripada permasalahan,
Dengan do'a semoga kita diberi kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian di dunia ini,
Yang kita akan diuji sehingga akhir hayat,
Sehinggalah kembalinya kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala,
Dalam keadaan bersih dari dosa-dosa,
Insya Allah, biiznillahi Ta'ala.
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Mengetahui akan kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan