Bismillahirrahmanirrahim, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Subhanahu Wata'ala, yang Maha Memiliki Keistimewaan, nama-nama dan sifat-sifatNya yang Maha Agung lagi Maha Indah. Selawat dan salam diberikan kepada junjungan mulia Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.
Bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana imtihan akhir telah pun berakhir bagi pelajar-pelajar kolej. Hari-hari yang sebelumnya telah pun dilalui oleh pelajar-pelajar dengan penuh kudrat usaha mereka dalam mentelaah pelajaran masing-masing. Menurut apa yang diketahui, kebanyakan daripada pelajar-pelajar mengambil peluang mereka untuk menelaah pelajaran di maktabah kerana di sana merupakan sebuah tempat yang kondusif untuk tujuan tersebut. Begitulah juga bagi mereka yang belajar di bilik hostel mereka sehingga larut pagi. Inilah semangat-semangat waja yang menunjukkan kesungguhan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang secara langsung tanggungjawab sebagai seorang muslim yang juga mengikuti pada hadith Nabi Muhammad sholla Allahu 'alaihi wasallam yang berbunyi:
" Menuntut ilmu itu adalah kewajipan bagi setiap orang Muslim ", au qama qal.
Sebagai peringatan kepada diri penulis juga kepada saudara yang membaca, hindarkanlah dan jauhkanlah daripada belajar kerana imtihan semata-mata. Begitu banyak nasihat-nasihat yang diri penulis terima daripada asatizah dan ustazaat mengenainya. Anggaplah imtihan itu sebagai perkara biasa yang perlu dilalui sebagai pengukur aras tahap prestasi diri, pemahaman, dan pengetahuan diri. Belajarnya kita itu adalah kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Apakah yang dimaksudkan belajar kerana Allah Ta'ala?
Antaranya, belajarnya itu untuk menghilangkan kejahilan di dalam diri, belajar untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan berda'wah kepada orang lain, belajar untuk menggalas tanggungjawab fardhu 'ain dan fardhu kifayah, memberi manfaat pada diri dan orang lain, serta yang menjadi tunjangnya adalah mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari. Semuanya itu diniatkan kerana Allah Subhanahu Wata'ala.
Biiznillah, sebuah persoalan dari penulis yang ingin dikongsikan buat saudara yang membaca. Apakah nilainya jika seseorang penuntut sesebuah universiti atau kolej itu menyambung pelajarannya di dalam bidang Syari'ah Islamiyyah sebagai contoh, dan seterusnya berjaya di dalam imtihan dengan cemerlangnya. Namun pada segi pegangan syari'at Islam dalam kehidupan sehariannya kurang menepati akan apa yang dipelajarinya. Begitulah diibaratkan akan sebuah pohon yang tidak berbuah pada setiap ilmu yang tidak diamalkan oleh penuntutnya.
Setiap apa yang penulis lontarkan bertujuan untuk kesedaran diri sendiri dan sedikit peringatan kepada saudara-saudara seIslam yang lain, dengan izin Allah Ta'ala. Bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan atau menghina mana-mana pihak. Mohon ma'af andai kata penulis terkasar bahasa dan mengguris hati mana-mana pihak. Setiap yang baik itu daripada Allah Azza wajalla dan yang buruk lagi kurang itu daripada diri penulis sendiri.
Khulasohnya, insya Allah مع دعاءي لكم بالتوفيق والنجاح , perbanyakkan solat hajat, solat taubat, berdo'a dan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya apa yang penting adalah usaha bukan hasil pada sesuatu perkara. Usahalah yang dinilai Allah Ta'ala bukan kejayaan atau gagalnya dalam imtihan.
Wallahua'lam bissowab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan