Ta'aruf Muallifah

Abdau bismillahirrahmanirrahim, ya'ni saya mulai dengan nama Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Saya berikan sholawat serta salam kepada junjungan besar kita Rasulillahi sholla Allahu 'alaihi wasallam, kepada keluarga dan para shohabat Baginda.

Hamba memohon perlindungan daripada-Mu ya Allah ya Tuhanku, daripada menulis, mengkhabarkan, mengkongsikan dan apa-apa yang sewaktu dengannya daripada terlintas walau sekecil zarah pun daripada berniat untuk memberi sebarang mudhorat atau segala apa keburukan di muka bumi ini kepada saudara-saudara seIslam hamba. Sesungguhnya tiada suatu keburukan mahupun kebaikan yang berlaku itu melainkan dengan izin-Mu ya Allah.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terbitnya sehelai helaian ta'aruf mualif ini untuk mengkhabarkan kepada saudara-saudara sekalian sedikit mengenai penulis supaya mengelakkan daripada sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap latar belakang penulis. Mudah-mudahan, dengan wujudnya sedikit ta'aruf mengenai penulis, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, usaha dalam menyampaikan kebenaran itu lebih mudah dan lebih berkesan.

Secara ringkasnya, penulis bernama Ummi Zakirah Binti Muhamad Zaki. Kini, sedang menuntut di Kolej Islam Darul Ridzuan di dalam bidang Usuluddin. Penulis mengambil peluang yang diberi Allah Subhanahu Wata'ala ini untuk menggunakan ruangan ini sebaiknya demi menyebarkan da'wah dan tarbiyyah selayak dan semampu yang boleh dilaksanakan sebagai seorang hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang kerdil lagi hina. Tiada apa yang dicari mahupun yang ingin dicapai, bahkan hanya berpegang kepada nilai pencarian keimanan dan ketaqwaan dalam memegang panji usaha demi mencari maghfiratullah, ma'rifatullah dan mahabbatullah.

Ingin penulis luahkan, bahawasanya laksanakanlah kebaikan walaupun sebesar zarah, kerana apa setiap kebaikan yang kita laksanakan itu ada nilainya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya perbuatan baik itu amat mudah untuk dilaksanakan, tapi ianya memerlukan kepada mereka yang sudi dan ikhlas dalam melakukan. Seringan dan semudah mana sesuatu perkara itu tetapi jika hati tidak terarah dan diri tidak mengarah pasti tidak akan berlaku jua. Berjihadlah kita melawan hawa nafsu godaan syaitan la'natullah.

Kita sedia maklum bahawa dalam menyampaikan kebenaran itu pastinya ia perit lagi pahit untuk dihadapi. Namun, dalam apa jua keadaan sekalipun, apa yang benar itu tetap benar dan sesungguhnya kebenaran itu perlu untuk disebarkan ke seluruh 'alam. Seseorang insan itu perlu untuk mencekalkan hatinya, meneguhkan jiwanya, memantapkan peribadi jasmani dan rohaninya, dalam menuju ke suatu noktah yang masih belum diketahui bila akan penghujungnya. Kerana yang pasti, dalam menyusuri jalan itu pasti kita akan menemui susah dan payah demi mencari redha Ilahi. Insha Allah Subhanahu Wata'ala, semoga kita mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala di atas setiap usaha yang kita laksanakan demi untuk membantu agamaNya ya'ni agama Islam yang indah. Seperti mana yang telah disebutkan sebelum ini bahawasanya setiap kebaikan yang kita laksanakan walau sekecil zarah sekalipun, sudah dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala akan dibalas dengan ganjaran kebaikan. Oleh yang demikian, janganlah kita gusar, janganlah kita gundah, andai kita jatuh, andai kita resah, kembalilah kepada Allah Subhanahu Wata'ala, berdo'a dan mengadulah kepadaNya. Semoga kita temui jalan keluar daripada permasalahan yang kita hadapi, insha Allah Subhanahu Wata'ala.

Wallahu Ta'ala A'lam bissowab,
Bicara ikhlas daripada penulis kepada saudara-saudara sekalian insha Allah,
22 Jun 2012,
Kolej Islam Darul Ridzuan,
Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.