Sabtu, Ogos 20, 2011

Salam Ramadhanul Karim li muslimin wa muslimat, mukminin wa mukminat.


Bismillahirrahmanirrahim. Dimulai dengan nama Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Subhanahu Wata'ala yang Menciptakan alam ini, dan mentadbirkannya. Allah Subhanahu Wata'ala yang Memberi rezeki sebelum diminta, yang Memberi Rahmat, dan Kasih sayangnya kepada kita semua, hamba-Nya.

Selawat, dan salam sentiasa diberikan kepada junjungan kita Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam, Nabi Muhammad, berserta para sahabat Baginda, keluarga Baginda, tabi', dan at-tabi'in. Sunnah mu akan terus ku perjuangkan, ajaran mu akan terus ku amati, dan mengamalkan, jasa mu akan terus ku kenang, pengorbanan mu akan terus ku renungi, dan teladani. Pahit mu ya  Rasulullah, demi menyebarkan ajaran Islam, menyampaikan risalah, wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala, dan kesakitan yang ditempuhi daripada mereka yang membenci mu. Keimanan yang teguh, hati yang cekal, sehinggalah tersebarnya Islam kini. Kepada mu, ku harapkan syafaat. Dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Syukr ila Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat lagi kita bertemu pada hari ini, memulakan hidup dengan cara mendapat berkat daripada Allah Ta'ala, semoga pada hari ini kita memulakannya dengan baik, dan mengakhirkannya juga dengan sebaik mungkin.

Pada awal penulisan kali ini, saya ingin mengucapkan Salam Ramadhan A-Mubarak walaupun kini telah pun mencapai malam-malam yang terakhir di dalam bulan Ramadhan. Penulis ingin berkongsi rasa akan bersyukurnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan untuk berjumpa lagi dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Tibanya bulan yang mulia ini, diibaratkan sebagai tetamu yang diraikan, dan digembirakan. Segala resah, gelisah, dan gundah gulana yang bermain pada sanubari selama ini, sedikit demi sedikit dibawa arus, bagaikan aliran air yang melinari hati yang sakit, pedih, kotor, kusam, serta gersang ini. Bulan Ramadhan ini, tertutupnya pintu-pintu neraka, dan dibuka pintu-pintu syurga. Bulan dimana kita perlu untuk berebut peluang yang diberi dengan melaksanakan ibadah-ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Setiap amal ibadah kita sudah tentu akan dilipat gandakan pahala, dan ganjaran di sisi-Nya.

Kita perlu memahami mengapa puasa itu difardhukan pada bulan Ramadhan ini. Kita berpuasa bukan hanya untuk lapar, dan dahaga. Jika lapar, dan dahaga sahaja yang kita kecapi, sia-sialah ia. Tujuan, matlamat kita berpuasa di dalam bulan Ramadhan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari keredhoan Allah Subhanahu Wata'ala. Mencari keampunan, rahmat, dan kasih sayang-Nya. Juga perlu diperhatikan akan kebaikan-kebaikan di sebalik berpuasanya kita pada bulan ini. Antara kebaikannya ialah, puasa itu dapat mendidik nafsu kita untuk taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Apakah kebenaran mengenainya? Selain waktu pada bulan Ramadhan, sebagai contoh mudah hidup kita akan sentiasa dikelilingi oleh makanan, dan nafsunya. Seperti yang diketahui, makan yang berlebihan akan membuatkan diri kita ini berat untuk beribadah. Setiap kata nafsu kita itu, dituruti, dan tidak pernah dibantahi, dan dijauhi. Malah untuk berpuasa sunat setiap hari Isnin, dan Khamis itu agak sukar untuk dilaksanakan dek kawasan persekitaran yang tidak mendorong terhadapnya. Lagi-lagi ujian, dan dugaan melihat orang lain yang tidak berpuasa sunat.
Nafsu jika tidak dididik dengan betul, akibat daripada kesenantiasaan menurutinya, melayaninya, dan membelainya, nafsu itu sendiri akan memberi padah pada si pelakunya. Nafsu yang sedemikian akan mendorong kita untuk melaksanakan perkara-perkara yang dilarang Allah Subhanahu Wata'ala. Mendorong kita untuk melaksanakan perkara-perkara kejahatan, dan langsung tidak mengendahi akan perkara-perkara yang menyuruh kepada kebaikan.

Pada bulan Ramadhan ini, syaitan-syaitan akan diikat, dan dibelengu. Terdapat dua pandangan ulama' dalam perkara ini. Yang keduanya ialah, yang dikatakan ikat itu adalah nafsu kita, yang membolehkan kita untuk rajin, dan kerap beribadah pada bulan Ramadhan. Rasa mudah, dan ringan untuk melaksanakan amal-amal soleh. Tidak dinafikan pada bulan Ramadhan, mudah untuk kita solat fardhu pada awal waktunya, solat secara berjema'ah, bertadarrus Al-Quran, melaksanakan solat sunat tarawikh tidak kira 8 atau 20 rakaat, dan bangun untuk bersahur serta melaksanakan solat malam.

Pada hari-hari biasa dalam bulan lain, mungkin sebilangan dari kita yang sukar untuk bangun pada malam hari, yakni dalam waktu orang lain dalam kenyenyakan melayani tidur untuk melaksanakan solat malam. Tetapi, dengan adanya dorongan untuk bersahur pada bulan Ramadhan ini, kita bangun dan terus melaksanakan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, dan solat sunat hajat. Bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas hikmah ini. Sebuah pentarbiyahan dalam pengertian keperluan dalam bersahur.

Sebagai peringatan, mungkin sesetengah daripada kita yang berfikir makan dalam waktu lewat tengah malam itu adalah bersahur. Yakni dalam pukul 11 malam, dan ke atas. Itu tidak dikirakan sebagai bersahur. Bersahur adalah bangun pada sepertiga atau duapertiga malam untuk menjamu sedikit makanan sebagai alas perut sepanjang tempoh kita berpuasa walaupun dengan seteguk air. Juga, ada yang tidak merasakan bersahur itu penting, dan melayani perasaan malas mereka daripada bangun melaksanakannya. Apakah yang membezakan puasa kita dengan puasa-puasa orang bukan Islam? Sudah tentulah dengan bersahur.

Kita kembali kepada kebaikan-kebaikan di dalam bulan Ramadhan, serta sejarahnya. Seperti yang telah diketahui umum, pada bulan Ramadhan ini telah diturunkan Allah Subhanahu Wata'ala Al-Quran Al-Karim padanya. Al-Quran yang agung diturunkan pada bulan yang penuh kemuliaan. Kitab Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi umat manusia ke arah jalan yang benar. Al-Quran yang sentiasa dipelihara Allah Subhanahu Wata'ala daripada sebarang penyelewengan, pendustaan, penipuan, dan pembohongan. Al-Quran Al-Karim yang dipelihara daripada sebarang perubahan, dan tokok tambah seperti yang telah pun berlaku kepada kitab taurat, dan injil.

Penulis ingin sentuh mengenai malam yang dikatakan lebih baik dari seribu bulan. Yang dinamakan lailatul qadr. Satu hari yang dijadikan Allah Subhanahu Wata'ala sebagai seribu kebaikan untuk hamba-Nya yang beriman lagi bertaqwa. Malam lailatul qadr merupakan sebuah hadiah besar yang amat bermakna untuk hamba-hamba-Nya yang terpilih. Kita rebut peluang dalam sepuluh malam terakhir untuk memperbanyakkan amal ibadah kita, munajat kita, tafakkur kita terhadap kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala, kekhusyukan kita dalam zikru Allah billisan, biqalbu, wal 'aqli. 

Bulan Ramadhan bukan bermula pada hari-hari terakhirnya. Sesetengah orang mungkin hanya mengejar malam lailatul qadr yang difirmankan Allah Subhanahu Wata'ala. Pegangan ini adalah salah sama sekali. Amal ibadah kita tidak tertakluk pada tempoh-tempoh tertentu di dalam bulan Ramadhan. Secara benarnya, apabila bermulanya bulan Ramadhan itu, kita sudah pun bersedia awal-awal untuk mencari bekalan pahala, beribadah, bersedekah, berbuat baik, dan sebagainya. Pentarbiyahan yang kita terima di dalam bulan Ramadhan ini untuk kita bawa pada bulan-bulan seterusnya sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala. Beribadah bukan hanya pada bulan Ramadhan, tetapi adalah dilaksanakan pada mana-mana bulan sekali pun. Berbalik kepada tujuan kita diciptakan di muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata. Beribadah, daripada seorang abdu ( hamba ), mengabdikan diri, menghambakan diri, bersujud kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dan beribadah kepada-Nya.

Sebagai pengakhiran penulisan kali ini, sedikit kata dari penulis, hargailah, renungilah, dan rebutilah akan peluang yang diberikan Allah Subhanahu Wata'ala pada bulan Ramadhan ini. Jangan kita sia-siakan. Bulan Ramadhan bakal beransur pergi, janganlah kita hanya terus membiarkannya, dan terus hanyut dalam kealpaan, kesombongan, ketakburan, dan kejahilan diri. Dengan harapan semoga kita semua muslimat wa muslimat, mukminin wa mukminat mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, dan semoga amal-amal ibadah kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala.

Selamat beribadah,
Wallahua'lam bissowab, 
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.