Dimulai dengan nama Allah Subhanahu Wata'ala, yang Maha Mencipta, dan Mentadbirkan keseluruhan alam ini. Selawat berserta salam keatas junjungan Nabi Muhammad, Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam, kepada keluarga, sahabat-sahabat, dan tabi'in.
Perjalanan kita masih panjang, walau beribu-ribu batu kita melangkah, setiap detik setiap waktu masih bergerak tanpa berhenti mahupun menunggu. Selagi kita diberi peluang untuk hidup di atas muka bumi ini, maka teruskanlah perjuangan kita untuk melawan hawa nafsu, melawan godaan, dan hasutan syaitan yang dilaknat, serta menambah amal ibadah sebagai bekalan kita di akhir destinasi kehidupan kelak. Sesungguhnya semua ini kadang-kala dirasakan amat payah. Namun begitu, kepada siapa lagi untuk kita berharap, dan berdo'a memohon pertolongan? Melainkan hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala diserahkan segala urusan. Untuk istiqamah dalam ibadah, dalam kekhusyu'kan, sudah semestinya perlu kita harungi onak, dan durinya. Ya manusia itu menurun dan meningkat keimanannya. Saya tertarik dengan sebuah bait kata yang dibaca, Allah tidak melihat kita untuk menjadi yang terbaik, namun Allah melihat kita untuk melakukan yang terbaik. Sesungguhnya manusia yang baik itu adalah dia bertaubat setelah melakukan dosa. Juga berusaha untuk tidak mengulangi akan perbuatan dosa itu lagi.
Sesungguhnya jika kita fikirkan kita diuji, dan dikala waktu dirasakan amat berat, namun apa yang boleh dinasihati terhadap diri ini, dan semua adalah ujian yang ditanggung, dan dihadapi oleh Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam lagi getir, dan berat. Kita tiada upaya, melainkan berharap kepada Allah Subhanahu Wata'ala memberi kita kekuatan untuk meneruskan hidup dengan penuh kesabaran, dan ketaqwaan. Jika mahu dicoretkan bermacam-macam yang dirasai pada jiwa, dan pemikiran. Namun, harus diingat janganlah kita terlalu mengikut perasaan, pemikiran, dan emosi, takut-takut disitu letaknya peluang untuk syaitan menghampiri membisikkan kejahatannya. Disitu, kita perbanyakkan istighfar, dan permohonan taubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dilazimi dengan bacaan Al-Fatihah, Ayatul Kursi, Tiga Qul, juga lazimkan diri dengan membaca Suratul Baqarah.
Begitulah, kita memperbanyakkan memohon nasihat, dan dorongan serta motivasi daripada mereka yang boleh kita percayai. Kita cuba untuk berkongsi masalah, mungkin dengannya bebanan masalah dapat juga dikurangkan, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala.
Hidup penuh dengan ujian untuk kita tanggung, benarlah manakan dikata diri kita ini beriman, selagi mana kita belum diuji oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Jika diuji dengan sakit, kita perlu sabar, dan cuba berusaha mencari ikhtiar dengan perubatan serta do'a. Apa yang diri ini pelajari, dengan kita bersabar itu sudah menjadi pahala, bahkan dengan sakit itu juga sudah menjadi pahala. Ya, dengan sakit itu Allah Subhanahu Wata'ala menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Selain daripada menghapuskan dosa-dosa kita, mungkin sakit itu sebagai kaffarah terhadap dosa kita selama ini, dan mungkin Allah Subhanahu Wata'ala mahu menaikkan darjat kita, serta mendekatkan diri kita kepada-Nya. Wallahua'lam, hanya Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Mengetahui.
Perjalanan yang masih panjang menagih seribu pengorbanan"...tiada kemenangan melainkan berkat pertolongan Allah..." ( Al-'Imran:126 )
Bersama-samalah kita memohon do'a kepada Allah Subhanahu Wata'ala:
...ya Allah ya Tuhan kami, yang Maha Menciptakan lagi Maha Mentadbirkan keseluruhan 'alam ini, ya Allah ya Tuhan kami yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap perkara, setiap apa yang kami tuturkan, setiap apa yang kami lakukan, setiap apa yang kami zahir, dan sembunyikan. Selawat berserta salam kami berikan kepada kekasih-Mu, junjungan besar kami Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam.
...ya Allah ya Tuhan kami, permudahkan urusan kami di muka bumi ini, ya Allah janganlah Kau biarkan kami tersasar daripada jalan kebenaran, janganlah Kau biarkan kami tanpa bimbingan, bimbinglah kami kejalan yang lurus, kejalan yang Kau redhoi, bukan jalan yang Kau murkai.
...ya Allah ya Tuhan kami, kami mengharapkan akan taufiq, dan hidayah dari-Mu, bagaimanalah kami tanpa hidayah dari-Mu. Daripada-Mu kami datang, dan kepada-Mu kami akan dikembalikan.
...sesungguhnya kami tidak layak untuk syurga-Mu, namun kami tidak sanggup untuk keneraka-Mu. Ampunkanlah dosa-dosa besar, dan kecil yang telah kami lakukan selama ini. Ya Allah ya Tuhan kami, hidupkan kami dalam keadaan bertaubat kepada-Mu, dan akhirilah kehidupan kami dalam keadaan bertaubat kepada-Mu.
...Amin, amin, amin, ya Rabb, ya Rabb Al-'Alamin.
Astarghfirullahal'aziim.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan