Rabu, Februari 02, 2011

Usaha kearah pembangkitan keimanan dan ketaqwaan.

Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Rasulullahi shollallahu 'alaihi wasallam, para keluarga dan sahabat-sahabat, berserta para pengikut baginda Rasulullahi shollallahu 'alaihi wasallam.

Hamba berlindung pada-Mu Ya Allah, daripada gangguan dan kejahatan syaitan yang direjam, yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Nabi Adam 'alaihi salam, juga daripada menulis sesuatu perkara yang bertujuan memberi mudharat kepada saudara-saudara seIslam yang lain.

Pertukaran siang dan malam silih berganti. Daripada terbitnya mentari sehinggalah terbenamnya mentari. Muncullah pula sang bulan purnama memberikan sinar menyinari malam yang kusam. Begitulah hakikatnya setiap hari, setiap detik, setiap waktu, yang berlalu tanpa berhenti menunggu akan manusia yang alpa.

Apakah yang dicari selama ini? Cuba kita hayati, cuba kita renungkan, kita bermuhasabah kembali, apakah makna dalam kejadian siang dan malam yang Allah ciptakan. Apakah yang telah kita laksanakan dalam seharian? Apakah perkara-perkara baik yang telah kita laksanakan? Atau adakah kita tidak mahu memikirkan, bahkan hanya mahu menyusuri kehidupan ini dengan penuh kelalaian, alpa, keseronokan semata-mata, mengejar cita-cita, impian, dan matlamat kosong?

Adakah amal ibadah kita pada hari ini lebih baik, atau lebih teruk, atau juga sama seperti biasa? Betapa kasih dan sayang Allah kepada kita, kerana masih memberi kita peluang untuk mencari bekalan keimanan dan ketaqwaan, masih memberi kita peluang untuk hidup, masih memberi kita nyawa, udara, air, dan makanan serta pakaian, dan segala ni'mat yang tidak terhitung.

Dalam diam, sentiasalah kita melafazkan zikrullah, andaikata kita terlupa, kembalilah kepadaNya, istighfar mohon keampunan, bersamalah kita sentiasa mengucapkan puji-pujian kepada Allah, Allah yang Mencipta kita. Jika sebelum ini kita berzikir di dalam kelalaian, sentiasalah berusaha untuk berzikir dalam kesedaran, dalam kekhusyu'kan, dalam keadaan menyedari bahawa Allah subhanahu wata'ala sedang memerhatikan kita.

Sesungguhnya tujuan kita hidup di muka bumi adalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Janganlah tujuan kita hidup ini tersasar daripada matlamat dan tujuan asal. Jadikanlah setiap gerak geri kita diselangi dengan tasbih, tahmid, takbir, dan tahlil. Gunakanlah setiap pancaindera yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala pada jalan dan tujuan yang benar pada tempatnya.

Laksanakan tanggungjawab yang diberikan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita sebaik mungkin. Jika kita sebagai seorang pelajar, tuntutlah ilmu dengan sebaiknya, jika kita sebagai seorang pekerja, berkerjalah dengan sebaiknya, jika kita seorang ibu mahupun bapa, didik dan besarkanlah anak-anak kita dengan sebaik mungkin, jika kita seorang guru, ajarkanlah, dan berikanlah ilmu pengetahuan, dan tunjuk ajar dengan sebaik yang termampu, serta yang selainnya. Siapa pun diri kita, dimana kita berada, taatlah pada perintah Allah Subhanahu Wata'ala, laksanakanlah sunnah Rasulullahi shollallahu 'alaihi wasallam, ikut dan peganglah seerat mungkin Kitabullah, Al-Quran Al-Karim.

Mafhum sabda Rasulullahi shollallahu 'alaihi wasallam:

Bertaqwalah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan bergaullah dengan manusia dengan budi pekerti yang baik.

Riwayat at-tirmizzi

Semoga kita terus memperbaiki diri kita kearah yang lebih baik, teruskanlah perjuangan. Perbanyakkan do'a dan rintihan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, banyakkanlah waktu untuk bermunajat, bertaqarrub kepada-Nya. Semua ini adalah nasihat sesama kita...

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.