Jumaat, Mei 31, 2013

Penderitaanku mudah-mudahan terubat dan berakhir, insha Allah.

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ku berikan kepada junjungan besar Rasulullahi Sholla Allahu 'alaihi Wasallam, beserta keluarga dan para sahabat Baginda yang diredhoi Allah Subhanahu Wata'ala. 

Kewujudan diri ini ibarat menjadi kekotoran dan kebencian orang ramai,
Namun apakan daya, 
Kepada siapa nan ku minta pertolongan,
Siapakah insan yang berhati berperikemanusiaan,
Siapakah dia..,
Hari demi hari ku nanti,
Mudah-mudahan tiada yang membenci dan membawaku pergi tanpa arah tujuan...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil 'alamin, kerana pada pagi hari khamis semalam adanya dua orang insan, dua orang hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang sudi datang dari Shah Alam jauhnya ke sini yakni Kuala Kangsar, Perak. Kehadiran mereka ibarat terbitnya mentari yang mula menyinari dataran yang suram tanpa sinar. Apa yang saya maksudkan adalah buat kucing yang serba kesakitan. Fizikalnya kelihatan nazak memerlukan bantuan. Hari pertama saya melihat kucing tersebut agak terkejut kerana pertama kali melihat kucing berada dalam keadaan begitu. 
Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dan berterima kasih kepada insan-insan yang berhati mulia yang ada membantu kucing ni. Terutamanya juga kepada kak Maznirah kerana bersungguh-sungguh untuk memberi makan kepada kucing tersebut dan yang paling penting berusaha untuk mencari bantuan melalui internet. Sehinggakan ada yang sudi membantu dan datang dari jauh ke tempat pengajian kami. 

Jazakuma Allahu khairan jazak 'alal musa'idah, insha Allahu Ta'ala.

Menurut kak Maznirah, inilah yang dikatakan kucing tersebut sewaktu ianya masih sihat.



Mudah-mudahan kucing tersebut boleh kembali sihat seperti sedia kala. Mudah-mudahan ianya dapat makan dan menjalani kehidupan sebagaimana kucing-kucing yang lain, insha Allah. Pengajarannya apabila kita melihat kucing yang sebegini, kucing yang sakit yang ingin meminta bantuan daripada manusia, ianya akan membuat kita terfikir begitulah juga hakikatnya manusia apabila seseorang itu jatuh sakit dan memerlukan insan lain di sisi. Sudah tentu kita memerlukan perhatian, sokongan, dan bantuan. Bukannya disisihkan..langsung tidak dipedulikan. 

Buat pengakhiran, buatlah kebaikan di mana-mana sahaja kita berada tanpa mengira tempat dan masa. Biarlah kebaikan yang kita laksanakan itu sekecil zarah sekalipun, asalkan kita buat, dan lakukan itu biarlah kerana Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata, insha Allah. 

Wallahu Ta'ala A'lam bissowab, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jumaat, Februari 08, 2013

Hakikat Sebuah Do'a

Dimulai dengan nama Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian itu hanya layak diberikan kepada yang Maha Pencipta, Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam diberikan kepada junjungan besar Rasulullahi Sholla Allahu ‘alaihi Wasallam, beserta seluruh keluarga dan para sahabat Baginda.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh saya ucapkan kepada saudara-saudara yang sudi membaca dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin saya sampaikan.


Semua manusia di muka bumi ini yang mengaku beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala, tidak pasti tidak menerima ujian daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Ujian yang hadir itu berada dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Pengajarannya adalah sama ada seseorang manusia itu mampu berfikir atau tidak akan hikmah setiap kejadian yang menimpa terhadap dirinya. Sama ada seseorang manusia itu mahu menjadi hamba Allah Subhanahu Wata’ala yang bersyukur di atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala atau tidak, bahkan andai kesusahan yang menimpa, adakah seseorang itu mampu bersabar dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.

Pada hakikat seseorang insan dalam menghadapi ujian dari Allah Subhanahu Wata’ala, sudah pasti seseorang itu perlu untuk memeriksa akan dirinya dan usaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya dalam melalui proses ini, do’a adalah ubat terhadap penawar umpama air jernih yang menjernihkan akan kekeruhan air. Ini adalah sebuah proses seorang hamba dalam usahanya untuk memperbaiki hubungannya dengan yang Maha Pencipta.

Kehidupan bagi seorang manusia itu tidak hanya tetap pada satu keadaan tetapi ianya sentiasa berubah dari masa ke semasa dan berbagai-bagai onak dan duri yang bakal hadir dalam kehidupannya. Melalui ujian dan musibah inilah Allah Subhanahu Wata’ala melihat siapa antara hamba-hamba-Nya yang beriman dan yang sebaliknya. Allah Subhanahu Wata’ala mahu melihat siapa antara hamba-hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan. Perubahan inilah sebuah titik tolak terhadap do’a yang kita panjatkan.

Sebanyak mana pun kita memohon do’a kepada Allah Subhanahu Wata’ala, tetapi jika kita tidak pernah hendak berusaha untuk mengubah cara kehidupan, sesungguhnya ia penuh dalam kedustaan bahkan kita hanya menipu diri sendiri. Kekuatan seseorang itu dalam mengubah kehidupannya adalah antara faktor dalam kejayaan seseorang insan.

Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"

Jika sebelum ini, kita seorang yang tidak pernah sabar dalam menghadapi sesuatu, kita mudah melenting, kita mudah berasa panas hati dan seterusnya tidak dapat lagi mengawal tindak tanduk kita yang seterusnya berlakulah pergaduhan. Maka, dalam mengatasi sifat marah ini, kita perlu menghilangkannya terlebih dahulu. Sebagai contoh, apabila kita marah kita terus melafazkan lafaz isti’azah dan seterusnya mengambil wudu’. Kerana sesungguhnya sifat marah itu daripada syaitan dan panas itu boleh disejukkan dengan basahan air wudu’, insha Allah.

Begitu juga kepada mereka yang sudah biasa bergelumang dengan maksiat, apabila hendak berubah, perlulah untuk menghentikan segala kegiatan maksiatnya dan berusaha untuk menjauhkan diri daripadanya. Andai kita berdo’a untuk jauh dari maksiat tetapi kita sendiri tidak mengubah dengan menjauhkan diri daripada maksiat, maka apakah gunanya?

Allah sendiri telah menjamin akan mengabulkan doa setiap hamba-Nya sebagaimana termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Doa yang kita panjatkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala ibarat tanaman. Kekuatan kita untuk mahu berubah adalah benihnya. Manakala doa itu sendiri adalah bajanya. Baja akan membuat benih tumbuh, berbuah banyak dan berdaun lebat. Akan tetapi, jika kita hanya menebar baja tanpa sedikitpun benih yang kita tanam, apa yang akan tumbuh?

Allah sentiasa inginkan hamba-Nya dekat dengan-Nya. Pelbagai cara disediakan oleh Allah untuk mendekatkan hamba-Nya dengan-Nya. Antaranya dengan mendatangkan musibah. Tidak ada sedikitpun maksud Allah untuk menzalimi hamba-Nya kerana Maha Suci Dia dari sifat zalim.

Jangan berburuk sangka dengan Allah bahawa setiap musibah yang didatangkan kepada kita menunjukkan Allah sedang marah dan menzalimi kita. Ketika berdoa, yang paling utama adalah bukanlah dimakbulkan-Nya doa kita atau hilangnya derita yang kita alami, tapi adalah meningkatnya kedekatan kita kepada Allah.

Ingatlah Allah itu Maha Memberi. Dia tidak lupa untuk Memberi. Kita tidak minta diberi makanan, tapi Dia tidak lupa untuk Memberi makanan kepada kita. Kita tidak minta diberi pakaian, tapi Dia tidak lupa untuk Memberi pakaian kepada kita.

Ibnu Ata'illah menyatakan: "Bukan tujuan utama itu hanya sekadar berdoa. Tapi tujuan yang utama adalah agar engkau mengetahui adab terhadap Tuhanmu."

Wallahua’lam bissowab, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jazakumullahu khairan kathiira kepada laman rujukan IluvIslam.com di atas sumber maklumat dan pengetahuan yang berguna untuk semua, insha Allah.

Jumaat, Januari 18, 2013

Jadilah Seorang Pemimpin Yang Membawa Kepimpinannya Kearah Ketaatan Kepada Allah Subhanahu Wata'ala


Bismillahirrahmanirrahim. Dimulai dengan nama Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian itu hanya layak diberikan kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Menciptakan langit dan bumi. Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Mendengar dan Maha Melihat akan segala yang zahir mahupun yang tersembunyi. Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Mengetahui segala apa yang tersurat mahupun segala yang tersirat pada lubuk jiwa setiap hamba-hambaNya. 
Selawat dan salam diberikan kepada junjungan besar Rasulullahi Sholla Allahu 'alaihi Wasallam, yakni rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala yang telah Mengurniakan seorang Nabi dan juga Rasul kepada umatnya dalam memberi petunjuk ke arah jalan yang benar lagi diredhoi-Nya. 

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh ana ucapkan kepada sidang pembaca yang sudi melabuhkan tirai pandangan di ruangan ini, insha Allah.

Aiyuhal ikhwah wa akhowat, insha Allah pada kali ini hati ana terdorong untuk menulis serba sedikit mengenai pilihanraya kampus yang telah pun berlangsung pada sebelum ini. Penulisan ini bukanlah apa, cuma ana ingin meluahkan rasa dan harapan terhadap kepimpinan yang akan datang ini, insha Allah.

Tidak kira siapa pun kita, setiap kita adalah pemimpin yakni khalifah di muka bumi ini. Sesungguhnya dalam menjadi seorang khalifah itu, perlu mempunyai ciri-cirinya yang telah pun digariskan oleh Islam. Ciri-ciri itu merupakan keperluan dalam kita menegakkan agama Allah, agama Islam yang benar di muka bumi Allah Subhanahu Wata'ala ini.

Setiap daripada kita perlu untuk mempunyai kesedaran ini yakni kita berpijak di bumi Allah, kita bernafas dengan udara yang diberikan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita, rezeki makan dan minum kita telah diberi nikmat-Nya kepada kita. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran. Kebenaran yang walaupun ia sikit, tetapi insha Allah ianya amat bermakna. Kerana apa, Nabi Muhammad Sholla Allahu 'alaihi Wasallam pun pernah menyebut yang mafhumnya, sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat, au qama qal. Andai kita tidak mampu untuk melaksanakan semua, jangan ditinggalkan semua. Semoga yang sedikit itu mempunyai keberkatan dan hikmahnya yang tersendiri di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya, ya kita kerap kali mendengar akan ceramah-ceramah mengenai hidup perlu untuk berjema'ah dan jangan kita hidup bersendirian. Begitu juga dengan tazkirah-tazkirah lain yang berguna lagi bermanfaat untuk kita. Tetapi pernahkah kita berusaha untuk mengamalkannya ataupun cuba untuk memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik yakni kita usaha untuk mengikuti dan mengamalkan akan setiap suruhan yang diajarkan dan yang disuruh oleh Islam.

Tiada seorang insan yang bergelar manusia biasa di muka bumi ini yang boleh lari daripada melakukan dosa dan kesilapan dalam kehidupannya. Tetapi, perlu untuk disedari bahwa sebaik-baik insan adalah mereka yang melakukan dosa kemudiannya bertaubat dan menyesal di atas dosa yang telah ia lakukan. Berbanding dengan seorang manusia lain yang taat beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang memikirkan akan ganjaran pahala yang bakal diterimanya sahaja. 
Sesungguhnya Rasulullahi Sholla Allahu 'alaihi Wasallam sendiri walaupun dirinya maksum yakni dosa-dosanya diampunkan Allah Subhanahu Wata'ala daripada yang terdahulu dan yang akan datang, tetapi Rasulullah sendiri tidak henti daripada beristighfar kepada Allah Subhanahu Wata'ala tidak kurang dari 70 kali sehari.

Insha Allah Subhanahu Wata'ala, harapan ana semoga pada saf kepimpinan pada kali ini dapat berpegang teguh kepada kekuatan jema'ah Islamiyyah dimana  dalam menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar menjadi teras pegangan dan semoga keimanan dan ketaqwaan yang kukuh kepada Allah Subhanahu Wata'ala berserta sifat ikhlas itu kukuh di pacakkan dalam diri kita yang memegang jawatan sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala.

Segala yang baik itu daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan yang buruk itu disandarkan kepada kekurangan dari diri ana yang serba dhaif lagi hina. Semoga terdapat pada isi kandungannya itu sebuah manfaat dan faedah yang besar terhadap diri kita semuanya, insha Allah mudah-mudahan.

Wallahu Ta'ala A'lam bissowab, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Sabtu, November 17, 2012

برنامج عمل الإسلام في كليّة سلطان إسماعيل فيترا العالميّة الإسلاميّة، كلانتان 2012.

بسم الله الرحمن الرحيم، السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته. الحمد الله ربّ العالمين، الخالق السماوات والأرض، والصلاة والسّلام على رسول الله صلّى الله عليه وسلّم، و أصحابه والتابع والتابعين. شكر إلى الله سبحانه وتعالى وأسأل الله عن مغفرته و محبّته، إن شاء الله.

Bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kerana pada 13 haribulan November 2012 yang bertempat di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) telah diadakan program Amal Islami yang menggabungkan beberapa buah institusi-institusi pendidikan dalam menjayakan lagi program ini. Antara pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan seperti pidato Bahasa Melayu, pidato Bahasa Inggeris, pidato Bahasa Arab, Khutbah, Nasyid, Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Khat, Debat dan selainnya. 

( Seminggu sebelumnya )

Hari-hari yang kami lalui sepanjang minggu ini berlalu dengan penuh onak dan duri. Hari demi hari yang berlalu, titisan keringat menitiskan peluh kesungguhan kami dalam melaksanakan latihan. Tidak mengira sama ada daripada kami daripada nasyid, mahupun sahabat-sahabat seperjuangan daripada pidato, tilawah Al-Quran, hafazan Al-Quran, khat dan selainnya.

Jika ingin dirangka dan dipaparkan untuk dibaca khalayak, mungkin sukar untuk diceritakan kerana ujian-ujian yang kami lalui terlalu pahit dan manis untuk diterjemahkan dalam kata-kata. Awalnya ingin saya katakan bahawa sahabat-sahabat seperjuangan yang lain turut menerima ujian, tidaklah saya bermaksud untuk menceritakan kisah ini untuk menafikannya, tetapi hanya berniat untuk bekongsi suka dan duka dalam nasyid ini demi menggapai pengajaran dan iktibar di sebaliknya, mudah-mudahan, insha Allah Subhanahu Wata'ala.

Bagi kami yang terlibat dengan nasyid memang memperuntukkan waktu yang panjang dan mencabar untuk kami laksanakan latihan kerana latihan-latihan yang perlu kami lakukan itu jatuh pada tempoh peperiksaan akhir berlangsung. Pengorbanan dan perjuangan memang perlu kami lakukan dalam membahagikan masa dan waktu antara latihan nasyid dan mengulang kaji pelajaran. Namun, tetap menjadi pegangan dan hala tuju kami bahawa belajar yakni menuntut ilmu itu merupakan tujuan dan matlamat serta amanah utama dan pertama yang perlu kami penuhi sebelum apa-apa. Hakikatnya memang sukar kerana memikirkan akan pertandingan nasyid yang mendatang, lagi-lagi kami ini mewakili kolej untuk kesana. Walau apapun yang berlaku, saya menganggap bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya asalkan saya berfikir dan bermuhasabah bukan bersikap tidak memikirkan dan alpa.

Bagi kami daripada pihak perkusi dan vokalis perlu berlatih daripada pagi hingga ke larut pagi yakni boleh saya katakan pernah kami berlatih daripada pukul 9 pagi sehingga pukul 6 pagi keesokannya. Kami berusaha dengan penuh usaha dengan menetapkan akan pacakan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata, bukan kerana selain-Nya. Prinsip itulah yang saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya terapkan dan pegang sekuat-kuatnya. Kerana dalam bernasyid khususnya, andai kita lakukan sesuatu itu hanya untuk bertanding dan menerima pingat emas bergelarkan juara, ianya tiadalah nilai bahkan tidak membawa maksud apa-apa. Apakah nilainya sesuatu pekerjaan kita sekiranya ia tidak dipandang Allah Subhanahu Wata'ala? Apakah mesej nasyid kita atau dakwah kita melalui nasyid ini boleh sampai kepada hati-hati yang mendengar? Andai kita bernasyid bukan kerana Allah Subhanahu Wata'ala? Tidak.

Secara jujurnya, kami merasa serba salah kerana dalam usaha kami untuk belajar perkusi, sudah banyak pihak kami susahkan. Kami tidak bermaksud untuk menyusahkan sesiapa tetapi hanyalah niat kami untuk memohon bantuan dalam usaha kami untuk menjayakan nasyid yang kami bawa. Dengan do'a saya kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberi segala kebaikan daripada kebaikan kepada Ikhwan yang membantu. Jazakumullahu khairan kathiira, terima kasih tidak terhingga kami ucapkan dan hargai atas usaha, penat dan lelah dalam membantu kami tidak kira tempat dan waktu.

Tidak dilupakan antara kita dalam kumpulan yang dinamakan Wardatul Jannah yakni gabungan dari kumpulan Kaseh dan Anwarud Dai'e, jazakumullah khairan kathiira dan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kerana sudi untuk bekerjasama dan bersatu serta usaha untuk saling memahami antara kita sehingga akhirnya usaha latihan-latihan nasyid kita berkesudahan ke pentas pertandingan. Walaupun mungkin dalam arus ketenangan air itu bakal hadir ombak mahupun deras yang tidak dijangka akan kehadirannya, tapi semoga dengan itu memaniskan lagi ukhuwah antara kita, bahkan mengeratkan lagi. Kerana sudah menjadi kewajipan dalam berdakwah itu sudah pasti merasa pahit. Bukanlah sesuatu itu dinamakan kita berdakwah andai tiada kesusahan yang menimpa ke atas diri kita. Bukankah begitu sahabat-sahabatku? Insha Allah.

Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada kumpulan nasyid Muslimin kerana sudah melaksanakan yang terbaik semasa pertandingan. Jazakumullahu khairan kathiira di atas segala bantuan dan dorongan semangat daripada pihak perkusi. Semoga perjuangan dakwah dalam nasyid antum berterusan dan jangan mudah berputus asa. Insha Allah, mudah-mudahan.

Saya wakil bagi pihak perkusi ingin meminta maaf andai ada salah silap kami dalam kata-kata mahupun perbuatan yang mungkin ada mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak. Segala yang baik itu daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan yang buruk itu disandarkan kepada perbuatan kami yakni hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang lemah lagi hina. Begitu juga kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang lain, teruskanlah perjuangan antum dalam segala apa yang benar daripada kebenaran nescaya Allah Subhanahu Wata'ala senantiasa bersama-bersama kita. Jazakumullahu khairan jazak, shukran jaziilan saya ucapkan kepada antum semua.

Apabila difikirkan kembali, pengalaman, pengajaran, iktibar dan hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku itu lebih bermakna berbanding dengan kemenangan semata-mata dalam pertandingan. Kerana itulah, kemenangan dalam pertandingan itu bukanlah segala-galanya. Apa yang lebih penting adalah pengisiannya, penilaian terhadap diri kita kearah penambah baikan dan bukannya kearah keburukan. Insha Allah, TERUSKAN PERJUANGAN!!! JANGAN MUDAH BERPUTUS ASA!!!

Wallahu Ta'ala A'lam bissowab, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sabtu, Mac 24, 2012

Bicaranya jiwa ini membutirkan kalimat munajat kepada-Mu ya Allah, yang Maha Menciptakan hamba daripada tiada kepada ada

Kumulakan bicara ini dengan sebaik-baik permulaan kalam.
Dimulai dengan menyebut nama-Nya yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui akan segala yang tersurat mahupun yang tersirat dalam diri setiap makhluk-Nya.
Apabila disebutkan nama-Nya, maka bergetarlah akan keseluruhan hati dan jasad bagi hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Bergetarlah jiwa bagi hamba-Nya yang tunduk akur pada kekuasaan Yang Maha Esa. Bagi hamba-Nya yang hanya mengharapkan akan luahan rasa, munajat pengharapan dan nur kasih dari-Nya.
Begitu juga semulia-mulia kalimah selawat-selawat serta salam yang diberikan kepada Habibullah, Rasulullahi Sholla Allahu 'Alaihi Wasallam. Dimana Allah Subhanahu Wata'ala dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat keatas Baginda.

Setiap saat degupan jantung ini kian meneruskan hayatnya mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang Esa, menjalankan akan kewajipannya sehinggalah di satu saat dimana segalanya akan berakhir. Sebuah pengakhiran bagi segala kudratnya di dunia yang fana' ini dalam mencari bekalannya untuk dibawa ke Akhirat kelak. Ianya bukanlah dan janganlah sebuah penantian yang didirikan atas putus asa, namun seperkara yang perlu diingati senantiasa. Mengingati akannya merupakan satu tindakan yang bijak yang dipilih dan diambil bagi kehidupan seorang insan yang hidup dan matinya itu hanya untuk yang Maha Menciptakan.


Kehidupan baginya itu adalah senantiasa sebuah penghijrahan tanpa perhentian. Bermulanya dia dari seorang yang jahil, seorang yang tidak mengerti akan nilai sebuah kehidupan, seorang yang tidak merasai akan betapa ni'matnya sujud kepada yang Maha Esa, seorang yang berjalan di muka bumi ini tanpa arah dan tujuan, yakni menuju kepada satu titik yang tidak diketahui dimanakah ia, apakah ia, dan mengapakah ianya ditujui.

Apabila tiba satu masa dimana dunia ini dirasakan sempit, dirasakan mencengkam akan dirinya, lemas dan tidak bermaya, hanya menantikan dimanakah bayangan yang dapat menggapai capaian tangannya memohon pertolongan.

Sinaran mentari yang menembusi kegelapan laut melahirkan butiran harapan kepada setiap kesusahan, kesengsaraan, kepayahan, keperitan, dan kepedihan yang hakikatnya perlu untuk ditempuh walau jatuh tersungkur, walau sakit dicengkam akan suatu perkara yang pasti dilalui bagi mereka yang mengatakan dirinya itu beriman lagi bertaqwa.

Diri ini bukan untuk bermadah, bukan untuk berkhayalan, bukan untuk segala apa yang sementara. Namun apa yang diharapkan untuk kita bersama dapat merasakan walaupun mungkin ianya hanya sekelumit atau mungkin muqaddimah bahkan hanya kata-kata aluan, tetapi semoga dengannya kita dapat merasai keheningan, kemanisan, dan kesyahduan yang terbit dari rasa syukur apabila mengenangkan dosa-dosa yang pernah dilaksanakan, akan sebuah pengamatian terhadap sebuah ni'mat pengampunan dan keredhoan dari yang Maha Esa kepada setiap hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya bagi diri seorang hamba itu, sebesar-besar ni'mat baginya hanyalah pengampunan dan keredhoan Allah Subhanahu Wata'ala. Siapalah kita tanpa Allah Subhanahu Wata'ala di sisi. Siapalah kita tanpa hidayah dari-Nya yang menyuluh jalan dalam kehidupan ini yang sememangnya penuh dengan onak dan duri. Siapalah kita tanpa bantuan dari-Nya. Siapalah kita tanpa Allah Subhanahu Wata'ala yang menunjuk arah, yang mengembalikan kita kepada jalan kebenaran setelah melalui jalan yang songsang dan penuh dengan kesesatan.

Mudah-mudahan perkara yang sekelumit ini menjadi sebuah amalan memuhasabah diri yang membawa kepada sebuah ma'na pencarian yakni membawa kita kepada mengenali, mendekati, mengasihi, mencintai, dan merindui kepada yang Maha Menciptakan, Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga dengannya segala keresahan, kegelisahan, kebuntuan yang dialami dapat terurai melepaskan segala bebanan di hati, apabila diri seorang hamba Allah Subhanahu Wata'ala itu meletakkan sepenuh harapan, meletakkan keseluruhan jiwa dan raganya dan melepaskan segala kerisauannya akan kehidupannya itu kepada Allah Subhanahu Wata'ala.


Bicara ikhlas daripada musafir dalam pencarian kebenaran,
أمّ ذاكرة بنت محمّد ذكي 
Wallahu Ta'ala A'lam bissowab.

Isnin, Februari 20, 2012

Tokoh sufi yang hidup dan matinya hanya untuk Allah Subhanahu Wata'ala

Dimulai catatan ini dengan kalimah agung, بسم الله الرحمن الرحيم.
Selawat dan salam diberikan kepada kekasih Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Muhammad sholla Allahu 'alaihi wasallam, kepada keluarga Rasulullah berserta sahabat-sahabat Baginda.

Tokoh sufi yang dikatakan itu adalah, Rabiatul Adawiyah. Turutilah qisah di bawah ini sebagai titik tolak penilaian diri kita akan iman dan taqwa yang kita tanam selama ini. Semoga natijahnya kelak membawa kita kepada sebuah perubahan yang lebih baik menuju kepada Al-Rabb, Allah Subhanahu Wata'ala.

Bermulanya qisah ini.

Pernah suatu hari orang-orang salih datang berziarah kerumah Rabiah. Ketika itu terjadilah soal jawab antara Rabiah dengan tetamu itu berkenaan dengan masalah menyembah Allah. Salah seorang daripada mereka ditanya Rabiah.

“Mengapa anda menyembah Allah?” tanya Rabiah.

“Kerana saya takut akan api neraka,” jawab orang itu.

“Mengapa anda menyembah Allah?” Rabiah bertanya pula pada tetamu yang lain.

“Saya menyembah Allah kerana takut masuk api neraka dan ingin masuk ke dalam syurgaNya,” jawab tetamu itu.

Rabiah menarik nafas panjang kemudian berkata, “Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah Allah hanya kerana mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka!” Sejurus selepas itu, Rabiah terdiam seakan-akan kecewa mendengar jawapan mereka. Kemudian, dari bibirnya terbit sebuah soalan.

“Sekiranya syurga dan neraka tidak ada, adakah kamu akan menyembah Allah?”.

Hadirin saling berpandangan sesama mereka. Tidak menyangka kalau-kalau pertanyaan seperti itu akan dikemukakan oleh Rabiah. Agak lama tidak ada seorang pun diantara mereka berani untuk menjawab. Salah seorang daripada mereka itu memecahkan kesunyian dengan bertanya kepada Rabiah. “Kalau begitu, tolong jelaskan kepada kami kenapa anda menyembah Allah?”.

“Saya menyembah Allah adalah keranaNya. Nikmat yang dianugerahkanNya kepada saya sudah cukup untuk menggerakkan hati saya untuk menyembahNya!”.

Demikianlah jawapan Rabiah, ringkas tetapi padat.

Pengajaran kepada qisah di atas: Marilah periksa diri kita, saya dan saudara-saudara sekelian. Dalam qisah di atas, kita dapat keluarkan tiga tahap keimanan.
1.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka.
2.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka dan inginkan syurga.
3. Menyembah Allah semata-mata kerana cinta kepadaNya, bukan mengharapkan syurga dan ingin menjauhi neraka. (Tahap pertama dan kedua adalah jelek dan buruk pada mata Rabiah)

Sekarang ini periksa diri kita. Di mana iman kita berada? Adakah tahap pertama atau tahap kedua? Ramai yang sekurang-kurangnya akan meletakkan dirinya dalam tahap yang pertama. Ada juga yang mengatakan dirinya tidak mencapai tahap pertama sekalipun.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini?


1.Sangat jauh dari Allah. Golongan ini bukan sahaja mengabaikan suruhan Allah, malah melakukan maksiat dan mempertikaikan dan menentang suruhan Allah. Na'uzubillah.

2.Bermain-main dengan Allah. Golongan ini kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Ikut mood. Senang cerita, orang yang malas.

3. Ber'ibadah yang tidak memberi kesan. Golongan ini tidak meninggalkan suruhan tetapi masih melakukan maksiat. Bukankah solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar?

4.Beribadah bukan kerana Allah. Golongan ini melakukan banyak suruhan Allah dan melakukan nahi mungkar tetapi tidak ikhlas. Sebaliknya ingin mendapatkan penghormatan daripada masyarakat, kononnya dialah ustaz, dialah yang paling 'alim dan semua orang kena ikut cakap dia.

Adakah anda tergolong dalam mana-mana golongan ini? Saya tidak tahu dan jangan beritahu saya. Anda lebih memahami diri anda sendiri dan terpulang pada diri anda untuk meletakkan di tahap keimanan yang mana. Mereka yang berada di tahap pertama akan meninggalkan segala perkara maksiat dari yang besar hingga sekecil-kecil pun dan melakukan ibadah yang wajib. Mereka yang berada di tahap kedua akan menambahkan amalannya dengan amalan-amalan sunat. Mereka yang berada di tahap tertinggi, akan meninggalkan dunia dan meletakkan sepenuh cinta kepada Allah s.w.t.

Wallahua'lam.
(Rujukan: Rabiatul Adawiyah & Cinta; Abdul Mun’im Qindil; Pustaka Syuhada)

Petikan ini diambil dan dikongsikan pada ruangan laman sesawang Halaqah.net.
Jazakumullahu khairan kathiira. 

Sabtu, November 26, 2011

Salam Ma'al Hijrah ( Pengorbanan dan Penghijrahan )

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji-pujian itu hanya layak bagi Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Menciptakan langit dan bumi, dan segala makhluk-Nya. Selawat dan salam diberikan kepada junjungan besar Rasulullahi sholla Allahu 'alaihi wasallam, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.


Pada kesempatan ini penulis ingin mengucapkan kepada sekalian saudara-saudara seIslam, salam Ma'al Hijrah yakni bermulanya tahun yang baharu dalam Islam. Dengan alunan do'a awal dan akhir tahun, semoga hidup kita ini diberkati Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga kita semua sebagai hamba Allah yang beriman lagi bertakwa mendapat keampunan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Tahun yang baru ini janganlah kita mulakannya dengan perbuatan-perbuatan yang menyalahi agama Islam. Jadikan saat ini sebagai hijrah kita ke arah yang lebih baik dari yang sebelumnya. Jika sebelum ini kita pernah melakukan sesuatu yang dilarang Allah Subhanahu Wata'ala, maka saat ini kita bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala daripada melakukan larangan-Nya. Sesungguhnya taubat itu memerlukan kepada penyesalan, keinsafan, kebencian terhadap dosa yang pernah dilakukan, keikhlasan dan jika ianya melibatkan masalah kita bersama saudara seIslam, maka pohonlah kemaafan antara kita.


Teruskan pasakkan semangat pengorbanan untuk berhijrah itu di hati sanubari kita pada saat ini. Jangan ditunggu waktu lain kerana tidak kita ketahui sehingga bilakah kita masih boleh menghirup udara di dunia ini. Tempoh hayat nyawa kita berada di bawah ilmu pengetahuan Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Luas. Jangan kita fikir kita muda, umur kita masih panjang. Kematian itu ada pada semua peringkat umur. Dari peringkat bayi, remaja, dewasa dan warga tua.

Dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, kita boleh lakukan penghijrahan itu. Penghijrahan menuju Allah Subhanahu Wata'ala. Jangan kita letakkan dalam pemikiran satu titik noktah terhadap segala permasalahan yang pernah terbelengu dalam kehidupan kita. Biarkan permasalahan itu dibawa alir yang menghayutkan ia jauh dari pandangan. Penghijrahan ini memang memerlukan sebuah pengorbanan. Dan segala pengorbanan itu sudah tentu bermulanya dengan pengorbanan untuk melawan nafsu yang berada di dalam diri kita sendiri. Nafsu yang menetap secara fitrah dalam diri setiap insan yang bergelar manusia yakni boleh dibentuk baik atau buruknya berdasarkan kepada usaha pembangkitan iman daripada tuan badan manusia itu sendiri. Semakin banyak kita bermujahadah melawan nafsu untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan, insya Allah nafsu kita akan terdorong dan terdidik untuk melakukan sesuatu perkara yang baik.

Berdasarkan hadith, setiap perbuatan-perbuatan itu bermula dengan niat, dan siapa seseorang itu berdasarkan apa yang ia niatkan.

Penulis mengambil kesempatan ini juga untuk memohon ma'af kepada sidang pembaca andai kata apa yang pernah ditulis, diungkap pada ruangan laman sesawang ini pernah mengguris, menyakiti, menyalahi mana-mana pihak, harap dapat dima'afkan. 

Wallahua'lam bissowab, 
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.