Sabtu, November 17, 2012

برنامج عمل الإسلام في كليّة سلطان إسماعيل فيترا العالميّة الإسلاميّة، كلانتان 2012.

بسم الله الرحمن الرحيم، السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته. الحمد الله ربّ العالمين، الخالق السماوات والأرض، والصلاة والسّلام على رسول الله صلّى الله عليه وسلّم، و أصحابه والتابع والتابعين. شكر إلى الله سبحانه وتعالى وأسأل الله عن مغفرته و محبّته، إن شاء الله.

Bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kerana pada 13 haribulan November 2012 yang bertempat di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) telah diadakan program Amal Islami yang menggabungkan beberapa buah institusi-institusi pendidikan dalam menjayakan lagi program ini. Antara pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan seperti pidato Bahasa Melayu, pidato Bahasa Inggeris, pidato Bahasa Arab, Khutbah, Nasyid, Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Khat, Debat dan selainnya. 

( Seminggu sebelumnya )

Hari-hari yang kami lalui sepanjang minggu ini berlalu dengan penuh onak dan duri. Hari demi hari yang berlalu, titisan keringat menitiskan peluh kesungguhan kami dalam melaksanakan latihan. Tidak mengira sama ada daripada kami daripada nasyid, mahupun sahabat-sahabat seperjuangan daripada pidato, tilawah Al-Quran, hafazan Al-Quran, khat dan selainnya.

Jika ingin dirangka dan dipaparkan untuk dibaca khalayak, mungkin sukar untuk diceritakan kerana ujian-ujian yang kami lalui terlalu pahit dan manis untuk diterjemahkan dalam kata-kata. Awalnya ingin saya katakan bahawa sahabat-sahabat seperjuangan yang lain turut menerima ujian, tidaklah saya bermaksud untuk menceritakan kisah ini untuk menafikannya, tetapi hanya berniat untuk bekongsi suka dan duka dalam nasyid ini demi menggapai pengajaran dan iktibar di sebaliknya, mudah-mudahan, insha Allah Subhanahu Wata'ala.

Bagi kami yang terlibat dengan nasyid memang memperuntukkan waktu yang panjang dan mencabar untuk kami laksanakan latihan kerana latihan-latihan yang perlu kami lakukan itu jatuh pada tempoh peperiksaan akhir berlangsung. Pengorbanan dan perjuangan memang perlu kami lakukan dalam membahagikan masa dan waktu antara latihan nasyid dan mengulang kaji pelajaran. Namun, tetap menjadi pegangan dan hala tuju kami bahawa belajar yakni menuntut ilmu itu merupakan tujuan dan matlamat serta amanah utama dan pertama yang perlu kami penuhi sebelum apa-apa. Hakikatnya memang sukar kerana memikirkan akan pertandingan nasyid yang mendatang, lagi-lagi kami ini mewakili kolej untuk kesana. Walau apapun yang berlaku, saya menganggap bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya asalkan saya berfikir dan bermuhasabah bukan bersikap tidak memikirkan dan alpa.

Bagi kami daripada pihak perkusi dan vokalis perlu berlatih daripada pagi hingga ke larut pagi yakni boleh saya katakan pernah kami berlatih daripada pukul 9 pagi sehingga pukul 6 pagi keesokannya. Kami berusaha dengan penuh usaha dengan menetapkan akan pacakan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata, bukan kerana selain-Nya. Prinsip itulah yang saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya terapkan dan pegang sekuat-kuatnya. Kerana dalam bernasyid khususnya, andai kita lakukan sesuatu itu hanya untuk bertanding dan menerima pingat emas bergelarkan juara, ianya tiadalah nilai bahkan tidak membawa maksud apa-apa. Apakah nilainya sesuatu pekerjaan kita sekiranya ia tidak dipandang Allah Subhanahu Wata'ala? Apakah mesej nasyid kita atau dakwah kita melalui nasyid ini boleh sampai kepada hati-hati yang mendengar? Andai kita bernasyid bukan kerana Allah Subhanahu Wata'ala? Tidak.

Secara jujurnya, kami merasa serba salah kerana dalam usaha kami untuk belajar perkusi, sudah banyak pihak kami susahkan. Kami tidak bermaksud untuk menyusahkan sesiapa tetapi hanyalah niat kami untuk memohon bantuan dalam usaha kami untuk menjayakan nasyid yang kami bawa. Dengan do'a saya kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberi segala kebaikan daripada kebaikan kepada Ikhwan yang membantu. Jazakumullahu khairan kathiira, terima kasih tidak terhingga kami ucapkan dan hargai atas usaha, penat dan lelah dalam membantu kami tidak kira tempat dan waktu.

Tidak dilupakan antara kita dalam kumpulan yang dinamakan Wardatul Jannah yakni gabungan dari kumpulan Kaseh dan Anwarud Dai'e, jazakumullah khairan kathiira dan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kerana sudi untuk bekerjasama dan bersatu serta usaha untuk saling memahami antara kita sehingga akhirnya usaha latihan-latihan nasyid kita berkesudahan ke pentas pertandingan. Walaupun mungkin dalam arus ketenangan air itu bakal hadir ombak mahupun deras yang tidak dijangka akan kehadirannya, tapi semoga dengan itu memaniskan lagi ukhuwah antara kita, bahkan mengeratkan lagi. Kerana sudah menjadi kewajipan dalam berdakwah itu sudah pasti merasa pahit. Bukanlah sesuatu itu dinamakan kita berdakwah andai tiada kesusahan yang menimpa ke atas diri kita. Bukankah begitu sahabat-sahabatku? Insha Allah.

Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada kumpulan nasyid Muslimin kerana sudah melaksanakan yang terbaik semasa pertandingan. Jazakumullahu khairan kathiira di atas segala bantuan dan dorongan semangat daripada pihak perkusi. Semoga perjuangan dakwah dalam nasyid antum berterusan dan jangan mudah berputus asa. Insha Allah, mudah-mudahan.

Saya wakil bagi pihak perkusi ingin meminta maaf andai ada salah silap kami dalam kata-kata mahupun perbuatan yang mungkin ada mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak. Segala yang baik itu daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan yang buruk itu disandarkan kepada perbuatan kami yakni hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang lemah lagi hina. Begitu juga kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang lain, teruskanlah perjuangan antum dalam segala apa yang benar daripada kebenaran nescaya Allah Subhanahu Wata'ala senantiasa bersama-bersama kita. Jazakumullahu khairan jazak, shukran jaziilan saya ucapkan kepada antum semua.

Apabila difikirkan kembali, pengalaman, pengajaran, iktibar dan hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku itu lebih bermakna berbanding dengan kemenangan semata-mata dalam pertandingan. Kerana itulah, kemenangan dalam pertandingan itu bukanlah segala-galanya. Apa yang lebih penting adalah pengisiannya, penilaian terhadap diri kita kearah penambah baikan dan bukannya kearah keburukan. Insha Allah, TERUSKAN PERJUANGAN!!! JANGAN MUDAH BERPUTUS ASA!!!

Wallahu Ta'ala A'lam bissowab, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.