Jumaat, Februari 08, 2013

Hakikat Sebuah Do'a

Dimulai dengan nama Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian itu hanya layak diberikan kepada yang Maha Pencipta, Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam diberikan kepada junjungan besar Rasulullahi Sholla Allahu ‘alaihi Wasallam, beserta seluruh keluarga dan para sahabat Baginda.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh saya ucapkan kepada saudara-saudara yang sudi membaca dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin saya sampaikan.


Semua manusia di muka bumi ini yang mengaku beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala, tidak pasti tidak menerima ujian daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Ujian yang hadir itu berada dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Pengajarannya adalah sama ada seseorang manusia itu mampu berfikir atau tidak akan hikmah setiap kejadian yang menimpa terhadap dirinya. Sama ada seseorang manusia itu mahu menjadi hamba Allah Subhanahu Wata’ala yang bersyukur di atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala atau tidak, bahkan andai kesusahan yang menimpa, adakah seseorang itu mampu bersabar dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.

Pada hakikat seseorang insan dalam menghadapi ujian dari Allah Subhanahu Wata’ala, sudah pasti seseorang itu perlu untuk memeriksa akan dirinya dan usaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya dalam melalui proses ini, do’a adalah ubat terhadap penawar umpama air jernih yang menjernihkan akan kekeruhan air. Ini adalah sebuah proses seorang hamba dalam usahanya untuk memperbaiki hubungannya dengan yang Maha Pencipta.

Kehidupan bagi seorang manusia itu tidak hanya tetap pada satu keadaan tetapi ianya sentiasa berubah dari masa ke semasa dan berbagai-bagai onak dan duri yang bakal hadir dalam kehidupannya. Melalui ujian dan musibah inilah Allah Subhanahu Wata’ala melihat siapa antara hamba-hamba-Nya yang beriman dan yang sebaliknya. Allah Subhanahu Wata’ala mahu melihat siapa antara hamba-hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan. Perubahan inilah sebuah titik tolak terhadap do’a yang kita panjatkan.

Sebanyak mana pun kita memohon do’a kepada Allah Subhanahu Wata’ala, tetapi jika kita tidak pernah hendak berusaha untuk mengubah cara kehidupan, sesungguhnya ia penuh dalam kedustaan bahkan kita hanya menipu diri sendiri. Kekuatan seseorang itu dalam mengubah kehidupannya adalah antara faktor dalam kejayaan seseorang insan.

Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"

Jika sebelum ini, kita seorang yang tidak pernah sabar dalam menghadapi sesuatu, kita mudah melenting, kita mudah berasa panas hati dan seterusnya tidak dapat lagi mengawal tindak tanduk kita yang seterusnya berlakulah pergaduhan. Maka, dalam mengatasi sifat marah ini, kita perlu menghilangkannya terlebih dahulu. Sebagai contoh, apabila kita marah kita terus melafazkan lafaz isti’azah dan seterusnya mengambil wudu’. Kerana sesungguhnya sifat marah itu daripada syaitan dan panas itu boleh disejukkan dengan basahan air wudu’, insha Allah.

Begitu juga kepada mereka yang sudah biasa bergelumang dengan maksiat, apabila hendak berubah, perlulah untuk menghentikan segala kegiatan maksiatnya dan berusaha untuk menjauhkan diri daripadanya. Andai kita berdo’a untuk jauh dari maksiat tetapi kita sendiri tidak mengubah dengan menjauhkan diri daripada maksiat, maka apakah gunanya?

Allah sendiri telah menjamin akan mengabulkan doa setiap hamba-Nya sebagaimana termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Doa yang kita panjatkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala ibarat tanaman. Kekuatan kita untuk mahu berubah adalah benihnya. Manakala doa itu sendiri adalah bajanya. Baja akan membuat benih tumbuh, berbuah banyak dan berdaun lebat. Akan tetapi, jika kita hanya menebar baja tanpa sedikitpun benih yang kita tanam, apa yang akan tumbuh?

Allah sentiasa inginkan hamba-Nya dekat dengan-Nya. Pelbagai cara disediakan oleh Allah untuk mendekatkan hamba-Nya dengan-Nya. Antaranya dengan mendatangkan musibah. Tidak ada sedikitpun maksud Allah untuk menzalimi hamba-Nya kerana Maha Suci Dia dari sifat zalim.

Jangan berburuk sangka dengan Allah bahawa setiap musibah yang didatangkan kepada kita menunjukkan Allah sedang marah dan menzalimi kita. Ketika berdoa, yang paling utama adalah bukanlah dimakbulkan-Nya doa kita atau hilangnya derita yang kita alami, tapi adalah meningkatnya kedekatan kita kepada Allah.

Ingatlah Allah itu Maha Memberi. Dia tidak lupa untuk Memberi. Kita tidak minta diberi makanan, tapi Dia tidak lupa untuk Memberi makanan kepada kita. Kita tidak minta diberi pakaian, tapi Dia tidak lupa untuk Memberi pakaian kepada kita.

Ibnu Ata'illah menyatakan: "Bukan tujuan utama itu hanya sekadar berdoa. Tapi tujuan yang utama adalah agar engkau mengetahui adab terhadap Tuhanmu."

Wallahua’lam bissowab, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jazakumullahu khairan kathiira kepada laman rujukan IluvIslam.com di atas sumber maklumat dan pengetahuan yang berguna untuk semua, insha Allah.

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.