Isnin, Februari 20, 2012

Tokoh sufi yang hidup dan matinya hanya untuk Allah Subhanahu Wata'ala

Dimulai catatan ini dengan kalimah agung, بسم الله الرحمن الرحيم.
Selawat dan salam diberikan kepada kekasih Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Muhammad sholla Allahu 'alaihi wasallam, kepada keluarga Rasulullah berserta sahabat-sahabat Baginda.

Tokoh sufi yang dikatakan itu adalah, Rabiatul Adawiyah. Turutilah qisah di bawah ini sebagai titik tolak penilaian diri kita akan iman dan taqwa yang kita tanam selama ini. Semoga natijahnya kelak membawa kita kepada sebuah perubahan yang lebih baik menuju kepada Al-Rabb, Allah Subhanahu Wata'ala.

Bermulanya qisah ini.

Pernah suatu hari orang-orang salih datang berziarah kerumah Rabiah. Ketika itu terjadilah soal jawab antara Rabiah dengan tetamu itu berkenaan dengan masalah menyembah Allah. Salah seorang daripada mereka ditanya Rabiah.

“Mengapa anda menyembah Allah?” tanya Rabiah.

“Kerana saya takut akan api neraka,” jawab orang itu.

“Mengapa anda menyembah Allah?” Rabiah bertanya pula pada tetamu yang lain.

“Saya menyembah Allah kerana takut masuk api neraka dan ingin masuk ke dalam syurgaNya,” jawab tetamu itu.

Rabiah menarik nafas panjang kemudian berkata, “Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah Allah hanya kerana mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka!” Sejurus selepas itu, Rabiah terdiam seakan-akan kecewa mendengar jawapan mereka. Kemudian, dari bibirnya terbit sebuah soalan.

“Sekiranya syurga dan neraka tidak ada, adakah kamu akan menyembah Allah?”.

Hadirin saling berpandangan sesama mereka. Tidak menyangka kalau-kalau pertanyaan seperti itu akan dikemukakan oleh Rabiah. Agak lama tidak ada seorang pun diantara mereka berani untuk menjawab. Salah seorang daripada mereka itu memecahkan kesunyian dengan bertanya kepada Rabiah. “Kalau begitu, tolong jelaskan kepada kami kenapa anda menyembah Allah?”.

“Saya menyembah Allah adalah keranaNya. Nikmat yang dianugerahkanNya kepada saya sudah cukup untuk menggerakkan hati saya untuk menyembahNya!”.

Demikianlah jawapan Rabiah, ringkas tetapi padat.

Pengajaran kepada qisah di atas: Marilah periksa diri kita, saya dan saudara-saudara sekelian. Dalam qisah di atas, kita dapat keluarkan tiga tahap keimanan.
1.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka.
2.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka dan inginkan syurga.
3. Menyembah Allah semata-mata kerana cinta kepadaNya, bukan mengharapkan syurga dan ingin menjauhi neraka. (Tahap pertama dan kedua adalah jelek dan buruk pada mata Rabiah)

Sekarang ini periksa diri kita. Di mana iman kita berada? Adakah tahap pertama atau tahap kedua? Ramai yang sekurang-kurangnya akan meletakkan dirinya dalam tahap yang pertama. Ada juga yang mengatakan dirinya tidak mencapai tahap pertama sekalipun.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini?


1.Sangat jauh dari Allah. Golongan ini bukan sahaja mengabaikan suruhan Allah, malah melakukan maksiat dan mempertikaikan dan menentang suruhan Allah. Na'uzubillah.

2.Bermain-main dengan Allah. Golongan ini kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Ikut mood. Senang cerita, orang yang malas.

3. Ber'ibadah yang tidak memberi kesan. Golongan ini tidak meninggalkan suruhan tetapi masih melakukan maksiat. Bukankah solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar?

4.Beribadah bukan kerana Allah. Golongan ini melakukan banyak suruhan Allah dan melakukan nahi mungkar tetapi tidak ikhlas. Sebaliknya ingin mendapatkan penghormatan daripada masyarakat, kononnya dialah ustaz, dialah yang paling 'alim dan semua orang kena ikut cakap dia.

Adakah anda tergolong dalam mana-mana golongan ini? Saya tidak tahu dan jangan beritahu saya. Anda lebih memahami diri anda sendiri dan terpulang pada diri anda untuk meletakkan di tahap keimanan yang mana. Mereka yang berada di tahap pertama akan meninggalkan segala perkara maksiat dari yang besar hingga sekecil-kecil pun dan melakukan ibadah yang wajib. Mereka yang berada di tahap kedua akan menambahkan amalannya dengan amalan-amalan sunat. Mereka yang berada di tahap tertinggi, akan meninggalkan dunia dan meletakkan sepenuh cinta kepada Allah s.w.t.

Wallahua'lam.
(Rujukan: Rabiatul Adawiyah & Cinta; Abdul Mun’im Qindil; Pustaka Syuhada)

Petikan ini diambil dan dikongsikan pada ruangan laman sesawang Halaqah.net.
Jazakumullahu khairan kathiira. 

Tiada ulasan:

Paparan-paparan bagi penulisan yang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hayati Dan Renungilah Kehidupan Ini...


Sebagai Seorang Hamba Allah Yang Beriman Lagi Bertaqwa.